Friday, July 16, 2010

Pelarasan Harga Petrol dan Diesel, Gula dan Gas Memasak

Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,

Hari ini 16 Julai 2010 telah berlaku pelarasan (kenaikan) harga barang-barang penting dalam pasaran domestik negara Malaysia iaitu petrol RON95 dan diesel, gula dan gas memasak, manakala Petrol RON97 diapungkan harganya secara terkawal. Saya rasa terpanggil untuk memberi sedikit komen. My 2cents kata omputeh. Pelik juga rasanya menulis dalam bahasa Melayu, tapi sebab saya fikir saya perlu membiasakan diri menulis dalam bahasa ini saya cubalah.


Seperti biasa ada banyak reaksi daripada pelbagai pihak dalam masyarakat kita. Ada yang menyokong dan ada juga yang membantah dengan pelbagai sebab yang tersendiri. Saya ingin memberikan pandangan sebagai seorang yang terdedah dengan corak ekonomi semasa secara teori sebagai ahli akademik dan sebagai rakyat, secara praktikal.

Saya menyokong pelarasan (kenaikan) harga barang-barang tersebut, dengan sedikit syarat.

Dalam aspirasi kerajaan untuk memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, langkah ini dilihat sebagai langkah yang seiring dengan matlamat tersebut. Kenapa kita perlu menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi? Umum tahu Malaysia hari ini bukan lagi peneraju harga rendah di rantau ini (macam Giant la pula), dan bukan pula pemimpin ekonomi di Asia Tenggara. Contoh peneraju harga rendah di rantau ini ialah Vietnam, manakala pemimpin ekonomi yang paling sesuai ialah Singapura.

Meletakkan Malaysia setaraf dengan Vietnam bermakna kita sama-sama melangkah ke belakang tatkala orang lain berpusu-pusu ke hadapan. Pantang anak Melayu (Malaysia) berundur menyerah kalah. Ekonomi Vietnam boleh dikategorikan sebagai ekonomi sedang membangun yang sedang pantas mengejar kawan-kawan serantaunya, malah tidak salah untuk mengandaikan Vietnam di ceruk Asia Tenggara ini seakan China di pentas ekonomi dunia. Hal ini disorong oleh banyak faktor. Saya bawakan dua untuk perbincangan kali ini. Harga buruh yang rendah menarik ramai pelabur ke negara tersebut. Peningkatan taraf hidup rakyatnya membuka sebuah lagi pasaran untuk pengeksport. Vietnam mula menjengah pentas ekonomi dunia dengan perlahan-lahan. Malaysia telah melalui frasa ini sejak dekad 70-an lagi. Apa yang telah terjadi kepada Malaysia bakal ditempuh Vietnam. Peningkatan KDNK (GDP), peningkatan taraf hidup dan seumpamanya. Mengapa? Kerana Vietnam kini seperti Malaysia dulu baru mula melibatkan diri dalam pentas ekonomi dunia. Sebagai sebuah pasaran baru, Vietnam ada semua ini (buruh yang murah kosnya dan rakyat yang semakin meningkat taraf hidupnya).

Kita di Malaysia telah lama terlibat dalam pentas ekonomi dunia. Sedari dekad 70-an kita mula menyediakan keperluan-keperluan utama perniagaan dan pelaburan bertaraf global (buruh, tanah, modal). Untuk kembali menjadi seperti Vietnam adalah mustahil. Mengapa? Harga buruh kita telah meningkat naik. (Buruh di sini bukanlah buruh semata-mata yang buat bangunan ye, termasuk juga kakitangan kolar putih-tenaga kerja). Mengapa meningkat naik? Semakin ramai orang mendapat peluang pekerjaan, dengan itu semua orang ada sumber pendapatan. Taraf hidup semakin meningkat. Yang demikian menjadikan sukar untuk pelabur menarik pekerja dengan menawarkan pendapatan (gaji) yang rendah. Kenapa? Seiring dengan peningkatan taraf hidup, buruh mula memilih pekerjaan yang dirasakan mampu menampung corak kehidupannya. Malaysia tidak menunggu lama untuk mengalami masalah ini. Sekitar dekad 80-an kita mula mengimport tenaga buruh kasar dari negara-negara jiran seperti Indonesia dan Filipina. Rakyat tempatan lebih suka melibatkan diri dalam bidang berpendapatan lebih lumayan dengan suasana kerja lebih selesa. Kesannya ketara pada hari ini, apabila Malaysia tersepit antara ekonomi berpendapatan rendah dan ekonomi berpendapatan tinggi.

Haruskah kita menjadi seperti Singapura? Atau lebih tepat lagi, mampukah kita menjadi seperti Singapura? Jika kita berada di antaraVietnam di suatu hujung tali dan Singapura di hujung yang lain, kita hari ini lebih hampir kepada Singapura. Sejak sedekad yang lalu kita mengekalkan kedudukan (ranking) 20 teratas dalam kalangan negara dagang (trading nation)-kita antara pengeksport tertinggi dunia. Baru-baru ini kita berada dalam kelompok 10 terbaik setaraf dengan beberapa negara maju dalam kalangan negara berdaya saing (kompetitif). Perkembangan-perkembangan semasa ini memungkinkan kita menjadi seperti Singapura dalam kadar yang pantas dari segi kapasiti negara. Dengan kata lain, pembangunan negara mampu menjana produktiviti dan ekonomi seperti Singapura.

Namun seandainya rakyat (kita) enggan menurut kepesatan pembangunan ekonomi dan produktiviti negara, kita akan mengalami apa yang disebut sebagai kebekuan modal insan. Apabila taraf hidup semakin meningkat, kita mahu gaji turut meningkat. Namun produktiviti kita masih di takuk lama. Bagi yang mampu meningkatkan produktiviti tetapi gagal dilayan oleh industri atau kerajaan, mereka memilih untuk berhijrah ke negara asing yang lebih mampu membiaya tahap produktiviti mereka. Kalangan profesional kita (doktor, jurutera dan seumpamanya) yang berhijrah ke negara-negara maju seperti US, UK, Australia dan Singapura bukanlah satu fenomena yang mengejutkan. Ini adalah kesan daripada kebekuan modal insan. Kita menghadapi masalah sama ada modal insan kita beku (boleh jadi juga bejat), atau industri (atau kerajaan) beku. Kebekuan modal insan berlaku apabila kita enggan meningkatkan produktiviti. Kebekuan industri atau kerajaan berlaku apabila mereka enggan bertindak balas terhadap peningkatan produktiviti buruh.

Lanhgkah-langkah yang diambil kerajaan menunjukkan mereka enggan dilabel sebagai kerajaan yang beku. Gaji kakitangan awam telah beberapa kali dinaikkan sejak tahun 2000. Banyak langkah telah diambil untuk memastikan profesional dan pakar kita kekal atau pulang ke tanah air. Kita juga sedang mengurus kolam bakat (talent pool) negara dengan berhemah. Hal-hal ini adalah sebagai sebahagian daripada langkah menuju ekonomi berpendapatan tinggi. Untuk menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi, produktiviti negara haruslah tinggi. Yang demikian boleh menampung produktiviti buruh melalui peningkatan gaji dan taraf hidup.

Oleh itu apabila kerajaan mengambil langkah mengurangkan subsidi kita harus melihatnya sebagai suatu kaedah mengurus perbelanjaan negara dalam memastikan kelestarian produktiviti negara dan buruhnya. Hal ini penting bagi memastikan pusingan ekonomi negara terus bergerak seiring dengan keperluan kakitangan awam, swasta dan orang kebanyakan. Sama ada kita memilih untuk teruskan membantah dan membantah sambil negara terus ke arah ekonomi berpendapatan tinggi (dan terus membantah nasib anak cucu di hari muka), atau ikut serta menjadi sebagai sebahagian daripada aspirasi tersebut, atau memilih untuk tidak ambil peduli. Yang penting gaji jalan, boleh hidup lagi hari ini. Dalam empat golongan manusia di dunia ini, fikirlah di mana kita. Yang tahu dan sedar dia tahu, yang tahu tapi tidak sedar dia tahu, yang tidak tahu dan sedar dia tidak tahu, atau yang tidak tahu dan tidak sedar dia tidak tahu.

Saya katakan di awal tadi sokongan saya terhadap pelarasan (kenaikan) harga barang tersebut adalah bersyarat. Apakah syarat-syaratnya?

Pertama kerajaan haruslah mengambil langkah yang cekap dan berkesan dalam menangani kemungkinan berlaku tindak balas susulan (chain reaction) dalam pasaran. Umum tahu bila saja berlaku kenaikan petrol terutamanya seluruh barangan akan naik harga. Bila dah naik terus mencanak naik tak mahu turun-turun. Oleh itu kerajaan harus mengambil langkah memastikan kenaikan tidak munasabah ini tidak berlaku sama sekali.

Kedua pengurusan subsidi haruslah lebih telus dan cekap selepas ini. Penjimatan yang dapat dilakukan ini mestilah disalurkan sebaik-baiknya kepada golongan sasaran. PM dah bagi tahu begitu, harapnya kalangan eksekutif di pelbagai peringkat ini dapatlah menjalankan amanah ini dengan jayanya (dengan insaf dan iman). Dalam demokrasi, kerajaan korup daripada rakyat korup untuk rakyat korup, kerajaan telus daripada rakyat telus untuk rakyat telus. Absolute power corrupt absolutely. Hidup demokrasi.

Ketiga kalangan kita ini juga haruslah terus mengambil peduli akan persekitaran kita selepas ini. Perkara ini menandakan kita semakin dekat dengan kesan pasaran dunia. Tidak ambil peduli memungkinkan lahirnya golongan yang terkejut beruk dengan apa-apa tindakan drastik kerajaan selepas ini. Sebab itu kerajaan beria-ia memastikan perkembangan teknologi maklumat dalam masyarakat hari ini. Senang lepas ni apa Uncle Sam buat kita boleh jangka apa kesannya. Maklumat di hujung jari.

Seterusnya kita juga harus lebih waspada dengan the invisible hand yang mengancam kestabilan pasaran (siapa-siapa yang berminat nak tahu dengan lebih mendalam boleh cuba rujuk buku ekonomi klasik Adam Smith-The Wealth of Nation). Kita berdoa semoga kita tidak terjerat dengan perangkap pelaku-pelakunya, Ameen.

Sekian, wassalam.

No comments:

Post a Comment