Bismillahirrahmanirrahim.
Saya rasa sangat teruja dengan beberapa perkembangan terbaru dalam dunia perniagaan melibatkan Tony Fernandes (Tan Sri) hari ini. Pertamanya, beliau melancarkan kad debit Think Big seperti yang dilaporkan dalam Utusan (versi atas talian). Keduanya, akhbar yang sama melaporkan perancangan beliau untuk melancarkan perkhidmatan penerbangan paling mewah (super premium). Akhir sekali, Berita Harian (versi atas talian) juga melaporkan beliau membatalkan sidang medianya berkenaan cukai lapangan terbang, sebaliknya menjawab beberapa isu menerusi Facebook sahaja.
Tony Fernandes, suka ataupun tidak, adalah ikon inovasi Malaysia yang terkenal di peringkat antarabangsa. Cerita bagaimana beliau membangunkan AirAsia menjadi gergasi hari ini telah menjadi lagenda. Saya sendiri melihat AirAsia, sudah tentu dengan segala kekurangannya, sebagai sebuah cerita magis menggergasikan semut yang hampir mati dipijak. Tony juga bermula tanpa sebarang ijazah formal. Ijazah kedoktoran yang diterimanya tahun lalu daripada UTM, dikhabarkan sebagai ijazahnya yang pertama. Hebat bukan? Ia seperti satu tamparan yang besar buat beribu-ribu pemegang ijazah pelbagai peringkat di negara ini yang masih mendabik dada hanya dengan makan gaji. Pada masa kebanyakan orang beranggapan zaman perkhidmatan penerbangan mewah sudah berlalu dengan nasib yang menimpa MAS, beliau berimpian untuk membangunkan penerbangan super premium. Adakah langit sudah runtuh?
Pembatalan sidang medianya juga menarik perhatian saya terhadap isu-isu GLC Malaysia. MAS dan MAHB adalah syarikat -syarikat berkaitan kerajaan yang dijenamakan semula menerusi Dasar Pensyarikatan Malaysia. Turut serta adalah syarikat-syarikat seperti TNB, Telekom dan KTM, sekadar menyebut satu dua nama. Sejarah syarikat-syarikat ini yang panjang membuktikan kehadiran mereka sejak sekian lama di pentas ekonomi negara. Pun begitu, saya harap mereka tidak terpedaya dengan sejarah mereka yang panjang, kalau sejarah itu dianggap bukti kekebalan betapa mereka tidak akan jatuh. Berapa banyak syarikat bertaraf antarabangsa yang telah lenyap di arus zaman hari ini lantaran ketidakupayaan mereka bertindak balas terhadap perubahan persekitaran. Berapa banyak pula yang melalui penstrukturan semula untuk kekal relevan dalam industri.
Kehadiran satu demi satu pesaing dalam industri masing-masing menjadi antara satu sebab (dan pastinya rahmat yang besar kepada pengguna) mengapa GLC perlu memikirkan semula perancangan strategik mereka dan bertindak seperti syarikat swasta dan bukannya jabatan kerajaan. Telah banyak duit rakyat dibelanjakan untuk merangsang kembali syarikat-syarikat ini yang nampaknya seperti tidak bermaya untuk melangkah lebih jauh di atas kaki sendiri. Pengguna hari ini memiliki lebih kuasa di tangan mereka dan semakin bijak menggunakannya. GLC harus berusaha mengekalkan dan meningkatkan pencapaian mereka pada tahun-tahun mendatang, bukan sekadar mendabik dada dengan pelbagai anugerah baru yang diterima, kemudiannya sepi di majlis yang sama tahun seterusnya. Tingkatkan mutu perkhidmatan, dan anda pasti kagum dengan kesetiaan pelanggan anda. Kerajaan juga mesti bijak memainkan peranan mengatasi konflik antara GLC dan pesaing-pesaing (mungkin juga pelanggannya). Kesilapan percaturan kerajaan mungkin membunuh inovasi ramai usahawan muda suatu hari nanti.
Saya tidak berharap cetusan ini dibaca, apatah lagi dipertimbangkan secara serius oleh mereka yang memegang amanah untuk melakukan perubahan dalam GLC berkaitan. Sebaliknya saya berharap ianya dibaca oleh generasi muda supaya jika anda berpeluang menggantikan mereka suatu hari kelak, anda boleh melakukan sesuatu. Apa pendapat anda?
No comments:
Post a Comment